Lama duk tenung blog. Masih tercari-cari erti sebenar berblog. Sungguh, saya tak istiqamah. Dan saya banyak bersembunyi dari meluahkan. Dan saya tidak tetap, dan berubah-ubah.
Dahulunya mahu berbahasa inggeris sahaja. Kerana nak sedapkan bahasa dan supaya tak lupa bagaimana mengarang dalam bahasa tersebut. Maklumlah dah keluar sekolah, dah tak berapa sentuh bahasa inggeris tapi masih belajar lagi. Lagipun saya suka, sayang, cinta bahasa inggeris. Melampau? Nak buat macam mana..
Kadang kala hanya mahu perkataan yang singkat-singkat sahaja. Namun sebenarnya dalam maksud di sebaliknya. Dan kadang kala mahu berbahasa melayu baku. Menulis kisah-kisah harian. Kadang kala kandungannya bersahaja, kadang kala tersirat mutiara. Tengok, saya tak berniat berpuitis di sini.
Saya minat bahasa. Jangan tanya saya kenapa saya sekarang menuntut ilmu sains dan matematik. Walhal itu bukan bidang saya sejak dulu lagi. Jangan tanya saya kenapa saya tidak meneruskan ke bidang bahasa, kerana persoalan tersebut hanya akan terjawab dalam masa beberapa tahun lagi, tidak sekarang. Kerana sekarang pun saya belum nampak jawapannya.
Saya juga suka bahasa asing. Teringin lancar berbicara dalam banyak bahasa. Alhamdulillah, setakat ini mampu bertatih-tatih dalam satu bahasa lain. Moga fasih hendaknya. Mahu juga tunaikan hajat Baba yang tak pernah beliau ungkapkan. Tapi saya faham gerak hatinya. Dia mahu juga saya menuntut dan fasih dalam bahasa ahli syurga. Insya Allah jika diberi kesempatan olehNya.
Kini saya mahu blog ini tidak sekadar di pinggiran. Dahulunya dibuka bila betul-betul luang. Saya mahu menulis. Saya mahu lebih terbuka. Saya tidak mahu terus mengingatkan orang supaya merahsiakan kehadiran blog ini. Saya mahu berbicara setulus hati. Kerana saya fikir saya tenang begini. Hendaknya.
Lagi pula, ini wilayah saya. Saya tidak minta ia dijajahi. Cukup saya sahaja di sini. Namun saya tidak halang pandangan luar, asal tidak dijadikan fitnah merata-rata. Saya mahu suatu hari nanti tempat ini jadi nostalgik. InsyaAllah
-najibahmahirah-