Sila baca dengan betul. Entry ini bukan pasal duet, nyanyi berdua. Tetapi duet, duit, wang, pitis. Banyaknya Allah dah tunjukkan semenjak dah beralih fasa pertumbuhan. Sejak tamat alam persekolahan, melangkah ke IPTA, Allah telah mula menunjukkan kepada saya erti sebenar kehidupan, dari banyak cabang. Cabang-cabang lain mungkin akan dibicarakan lain hari, tetapi hari ini saya mahu membicarakan dari sudut duet.
Hakikatnya, saya baru mengenal hidup selewat umur 18 tahun. Almaklumlah, pada masa ini barulah kita betul-betul berdiri di atas kaki sendiri, bebas membuat pilihan, dan menentukan corak kehidupan sendiri, tidak lupa dibimbing syarak. Hidup sewaktu dulu seolah-olah tiada masalah. Kalau ada pun, cukup untuk menangis sehari dan terasa bodoh terhadap diri sendiri.
Apabila berjauhan dengan keluarga, diberi bantuan kewangan oleh kerajaan untuk diuruskan sendiri, baru saya melihat cabaran menguruskan wang. Dan baru juga saya melihat kepentingan sebenar wang. Di tempat pengajian inilah saya melihat susah payah manusia untuk mencari sesuatu bernama wang. Bagaimana bergolok gadai serta mengerah kudrat. Ini membuatkan saya rasa bersyukur. Ada di antara kita yang di usia yang muda tidak ditanggung sesiapa sebaliknya harus menanggung lagi. Masya-Allah…
Cabarannya ini baru di peringkat IPTA. Saya lantas membayangkan situasinya apabila sudah mempunyai tanggungan sendiri dan sudah bekerja. Mampukah saya menguruskan wang sebaik-baiknya? Jadi semasa masih di pengajian inilah waktu untuk belajar dan bereksperimentasi. Selamat berjimat-cermat!
As-Syura (As-Shura) [27] Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.