Sunday, July 10, 2011

Nour el-Hayaa

“Meta-ethics, cognitivism,deotology…” berbelit-belit lidah Hayaa mengulang baca apa yang dipelajarinya siang tadi. Dikatup bukunya rapat, mata terpejam. Dilepaskan keluh yang berat sambil memicit-micit batang hidung. Ah, ini bukan kerja mudah. Terlalu banyak istilah untuk dihafal dan difahami. Sungguh, dia tidak mahu lupa akan azamnya awal semester dulu. Dia mahu memanfaatkan pelajaran kali ini sungguh-sungguh. Dia tidak mahu hafal di lidah, tapi di kepala, kosong. Maka dipaksa kepalanya bekerja berat. Akan diamati makna disebalik setiap bait yang rumit itu.

Seketika fikiran ligat berputar, kata-kata Dr. Ridhuan di kuliah siang tadi terngiang-ngiang kembali. “Pasti kamu pening melihat istilah-istilah dan teori yang banyak ini kan.. ketahuilah manusia pada ketika itu sibuk merangka ideologi sendiri bagi menolak wujudnya Tuhan.” Hayaa mengangguk-angguk. Diiyakan kata-kata Dr. Ridhuan di dalam hati. Seketika dulu, dia kagumi Aristotle dan Plato, berjaya merumuskan banyak perkara dan mencipta teori yang dianuti sekalian manusia sehingga sekarang.

Disangkanya ada asas pada setiap yang diperkatakan oleh ahli falsafah Greek dan Roman itu. Mana nak ditahu mereka menciptanya atas dasar rasional sendiri. Semuanya dikerah oleh pemikiran manusia yang sedia maklum terbatas itu. Disangkanya Stephen Hawking dan Charles Darwin itu sudah jagoan, mencipta teori kewujudan manusia melalui eksperimentasi. Tapi Aristotle dan Plato mampu pengaruhi pemikiran manusia hanya melalui kata-kata dan tanpa bukti uji kaji!

Makanya di akhir kuliah, terlihatlah kesemua corak pemikiran ini bisa terhapus oleh wujudnya wahyu Tuhan. Apabila kata-kata Muhammad disulam ayat-ayat Kalamullah, apabila Ibnu Sina memaksima kemampuan akal melalui initipati Kitabullah dan apabila Imam Abu Hanifah memanifestasi indahnya ajaran Rasulullah, mereka tiada tandingan. Tiada siapa mampu mengubah ayat Allah, tiada siapa mampu mencabar sunnah Rasulullah.

Nah, Hayaa tersenyum puas. Tak perlu dihurai panjang. Siapa-siapa yang melihat menggunakan mata hati, kebenarannya sudah siap di depan mata. Sehingga tidak perlu lagi dicipta pelbagai macam ‘ism’ untuk memuaskan pemikiran manusia. Manusia itu banyak, ragamnya banyak, soalannya banyak. Tapi akhirnya soalan itu tertuju ke jawapan yang satu. Dengan sampainya ke jawapan itu, datanglah dia pada satu tahap pemikiran yang dinamakan keyakinan hingga kalbunya menjadi tenang.

Jadi, mengapa ramai yang tidak ketemu akan jawapan ini? Jalannya panjangkah atau berliku-likukah? Ya, satu perkara perlu diletakkan di hadapan. Hidayah Allah. Tapi manusia juga sering berdolak-dalih. Sehingga kebenaran di hadapan mata manjadi kelam suram dek nafsu. Hayaa teringat lagi Dr. Ridhuan memetik kata-kata Prof Syed Naquib Al-Attas “Manusia itu mencapai tahap tertinggi apabila jiwa haiwaninya berjaya dikawal jiwa ruhaniah..” Kerna jiwa ruhaniah ini kenal Tuhannya. Jiwa ruhaniah ini yang bersumpah di hadapan Tuhannya di alam ruh dahulu bahawa Dialah Tuhan Semesta Alam. Tiada sekutu bagiNya.

Hayaa berkerut. Lantas di mana jiwa ruhaniah itu sekarang? Ya, jiwa ruhaniah itu fitrah kita. Fitrah kita yang sudah berbai’ah dengan Tuhan tanpa ragu dan sangsi. Lalu, umat manusia yang sesat hilang fitrahnya? Tidak, fitrahnya tidak hilang. Cuma dirinya hilang punca, tidak pulang pada fitrah sendiri. Fitrah kita itu suci. Tidak dicalit sedikit pun dosa. Fitrah kita murni, fitrah kita kenal Penciptanya. Maka apabila dia kenal, mustahil akan berlaku sewenangnya. Itu hakikat, harus diterima.

Namun realiti buat Hayaa tertunduk insaf. Manusia tertipu, tertipu dengan helah sendiri. Jiwa haiwani bebas bermaharajalela lalu jiwa ruhaniahnya di mana? Fitrahnya sudah ke mana? Sedangkan kita waktu bayi pun masakan lahir bersama dosa seperti dilaung si Kafir. Jadi siapa yang jadikan kita manusia yang kotor, hanyir, maung oleh dosa? Fitrahnya sudah sirnakah diganti kegelapan. Nauzubillah.. Hayaa ulang istighfar banyak kali.

Skeptik Hayaa melayang. Hilang terbang. Siapa bilang kalau belajar sekularisasi, belajar metafizik, belajar falsafah bukan ilmu akhirat? Siapa bilang itu kerja si intelek, si kaca mata mengangkut buku tebal? Itu kerja kita, ya kita semua. Kerana itu fitrah kita. Jiwa ruhaniah kita kehausan. Spiritual kita dahagakan ilmu. Naluri kita mencari hikmah. Hati kita sedang sesat mungkin, menanti tuannya iring jalan pulang. Persoalannya, kenapa tidak sekarang? 



وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ 7:172


“Dan ingatlah ,ketika tuhanmu mengeluarkan keterunan anak adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka. Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)"


Dikarang pada hari Khamis, 12 Mei 2011, malam.