Amaran awal: Entri ni ditulis khas untuk bacaan muslimat sahaja. Namun bagi muslimin yang agak-agak dah bersedia untuk kahwin dan beranak-pinak, bolehlah baca :)
Fiqh mar’ah atau fiqh kewanitaan adalah satu cabang ilmu yang membincangkan hukum hakam agama berkaitan dengan wanita. Pada hari Sabtu yang lepas, saya berpeluang menghadiri kuliah Fiqh Mar'ah bertajuk “Permasalahan Fiqh Peribadi Wanita di Bulan Ramadhan” yang disampaikan oleh Ustaz Tarmizi Taha, Pensyarah UNISZA. Kuliah ini adalah program mingguan yang diadakan pada setiap hari Sabtu di Masjid Ladang Kuala Terengganu.
Atas amanah oleh seorang sahabat yang minta dikongsikan ilmu kerana tidak dapat hadir, saya catit sedikit catatan di sini. Saya tidak bercadang menulis kesemua isi perbincangan tersebut tetapi mungkin beberapa isu yang saya rasa perlu diketengahkan.
Permasalahan wanita adalah berbeza bagi tiap-tiap individu. Tetapi ada beberapa isu yang selalu dibangkitkan dan sentiasa menimbulkan kekeliruan di kalangan wanita. Dan juga terdapat beberapa isu yang mungkin selama ini terlepas pandang oleh kita tetapi sebenarnya sangat mustahak.
Pendidikan Awal
Sebenarnya, pendidikan tentang fiqh mar’ah seharusnya dimulai pada usia yang muda. Muslimat seharusnya didedahkan tentang cecair, haid dan istihadhah sejak sebelum baligh lagi. Hal ini tidak terkecuali kepada muslimin. Seorang anak harus diajari tentang apa yang bakal dialami pada ketika baligh. Hal ini supaya tidak berlaku sebarang permasalahan setelah perkara itu berlaku.
Namun ustaz mengakui bahawa ajaran tentang perkara sebegini bukanlah mudah kerana ia sesuatu yang peribadi dan agak sulit untuk dikongsi. Tetapi ustaz juga menekankan peranan ibu bapa dalam mendidik anak kerana perkara sebegini jika tidak diberi perhatian akan membawa kepada dosa.
Keputihan
Keputihan berlaku kepada sejumlah besar wanita. Ada yang mengalaminya secara berterusan atau hanya pada waktu-waktu tertentu. Adalah menjadi kewajipan kepada wanita yang mengalami keputihan untuk menyucikan diri sebelum mengambil wudhu’ dan menunaikan solat. Hal ini kerana keputihan adalah diklasifikasikan sebagai najis.
Bagi yang mengalaminya secara berterusan, ianya dipanggil sebagai “Salasul Hadas” ataupun hadas yang berterusan. Terdapat beberapa perkara berkaitan ibadah yang perlu diambil perhatian bagi mereka yang mengalami keputihan sebegini.
1. Perlu bersuci atau menukar pakaian baru sebelum menunaikan solat.
2. Wudhu’ adalah tidak sah selagi tidak masuk waktu solat.
3. Segera menunaikan solat setelah mengambil wudhu’ dan tidak bertanguh-tangguh.
4. Perlu ulang bersuci untuk menunaikan solat yang seterusnya.
Haid
Kebanyakan perkara yang dibincangkan adalah pengetahuan am yang harus diketahui oleh sekalian muslimat. Namun antara yang jarang didengar adalah tentang kes haid yang terputus-putus. Ini berlaku apabila terdapat jarak dalam satu tempoh keluar haid. Sebagai contoh, haid berhenti pada hari Jumaat tetapi bersambung pada hari Isnin.
Dalam kes ini, hari-hari yang tidak keluar haid iaitu hari Sabtu dan Ahad dikenali sebagai hari naqa’. Hari naqa’ adalah dikira sebagai haid selagi mana tidak melebihi tempoh paling lama haid iaitu selama 15 hari 15 malam. Maka, jika berlaku sedemikian kes pada bulan Ramadhan, hendaklah dia mengqadha’ puasa pada hari naqa’ tersebut kerana masih dikira berada dalam keadaan haid.
Ada juga sesetengah kes apabila haid terputus-putus secara jam. Solusi bagi kes sebegini adalah hendaklah dia mengira jam di mana haidnya keluar dan tidak keluar. Kemudian ditambah jam yang haidnya keluar dan jika melebihi waktu sehari semalam iaitu 24 jam, maka ianya dikira sebagai haid. Ini kerana tempoh paling singkat haid adalah sehari semalam.
Istihadhah
Hal ini adalah yang paling rumit boleh terjadi kepada seseorang muslimat. Istihadhah adalah darah penyakit yang sering dikaitkan dengan haid. Istihadhah adalah perkara yang agak susah untuk diterangkan, beritahu ustaz. Maka dalam tempoh yang singkat itu, ustaz memberitahu cara mengenalpasti istihadhah.
Istihadhah terjadi apabila tempoh keluar darah melebihi 15 hari 15 malam iaitu tempoh maksima. Jika sudah terlebih tempoh, maka darah tersebut bukanlah darah haid sebaliknya darah istihadhah. Tetapi yang menjadi masalah adalah untuk mengenalpasti bila keluarnya darah istihadhah kerana darah haid sudah bercampur dengannya.
Maka antara kaedah yang diterangkan adalah:
1. Mengenalpasti berapa warna darah yang keluar dalam sesuatu tempoh. (haid ada lima warna: hitam, merah, warna tanah, kuning dan keruh)
2. Jika dua warna (contoh: merah dan kuning) maka tempoh darah berwarna merah dikira sebagai haid dan tempoh darah berwarna kuning dikira sebagai istihadhah. Ambil turutan warna terkuat.
3. Jika satu warna, maka perlulah dirujuk kepada tempoh haid sebelumnya. (contoh: haid yang lepas adalah selama tujuh hari, maka tempoh haid sekarang dikira tujuh hari)
Sesungguhnya muslimat perlulah prihatin dan mengambil tahu tentang fiqh mar’ah kerana ia berkait rapat dengan pelaksanaan ibadah kita. Sememangnya sesetengah muslimat lebih rumit penjagaannya berbanding yang lain. Tetapi Rasulullah SAW telah bersabda:
“Barangsiapa yang menyempurnakan wudhu’ walaupun pada waktu sukar, maka pahala yang besar baginya.”
Wanita solehah itu lebih baik daripada dunia dan seisinya. |
Insya-Allah setiap yang dikorbankan pasti ada ganjaran. Dan perkara yang sering diulang-ulang ustaz sepanjang kuliah ialah “Setiap muslimat wajib ada diari haid!” Sekarang dah nampak kan rasionalnya kenapa? Kerana kesulitan-kesulitan di atas mungkin akan terjadi kepada kita. Wallahu'alam.