Sementara angin semangat masih berhembus kuat dan memori masih melekat, saya titipkan serba sedikit catatan sempena Bengkel Penulisan Muda 2011 yang dipanelkan oleh Kak Rebecca Ilham semalam.
Pengenalan
Mengapa Kak Rebecca? Ya, persada penulisan tanah air diwarnai oleh berbagai genre dari para pengkarya tempatan. Namun, Kak Rebecca dan kami (Pelajar Jurusan Sains UIA) punya sedikit sebanyak persamaan yang diharap boleh merapatkan jurang antara penyampai dan penerima ilmu. Kak Rebecca Ilham merupakan graduan Kejuruteraan Petroleum di Colorado School of Mines, Amerika Syarikat dan berada dalam lingkungan 20-an.
Berlatar belakangkan pendidikan sains namun masih mampu bersastera dan menerapkan ciri-ciri ketuhanan dalam penulisan, kami tertarik. Dan apa yang paling menarik hati adalah bagaimana beliau menggarapkan teori-teori sains yang diperolehi dalam bilik pengajian ke dalam bentuk tulisan naratif bagi memudahkan pemahaman. Itu adalah sesuatu yang perlu kami belajar bagi mengembangkan ilmu kepada khalayak. Mahu bayangan yang lebih? Baca karya beliau.
Slot 1: Pembacaan Pendesak Penulisan
Di slot pertama ini, Kak Rebecca lebih banyak berkongsi pengalaman beliau sementara menyusuri isi-isi yang ingin beliau sampaikan. Dapat saya simpulkan bahawa Kak Rebecca adalah kaki buku! Sedari di sekolah rendah lagi beliau dididik untuk membaca dan sangat berminat dengan bahan bacaan sehingga terperuk di perpustakaan sekolah, termasuk yang bergerak! Dan minat itu terus bercambah sehinggalah ke menara gading.
Kak Rebecca juga banyak berkongsi tentang transisi bahan bacaan beliau iaitu dari bahan bacaan fiksyen, kemudiannya beralih kepada karya yang lebih serius. Saya yakin bahan bacaan inilah yang membentuk gaya penulisan beliau sekarang. Dan Kak Rebecca juga mengulang kata-kata ini sepanjang bengkel. “Keyakinan untuk menulis datang dari ilmu. Maka jika belum cukup ilmu, kita akan kurang yakin untuk menulis. Kita akan bersedia untuk menulis apabila segala hujahan dalam fikiran kita selesai. Maka pada waktu itu, tulislah.”
Kak Rebecca ada memetik kata-kata Pak Samad, “Baca, baca, baca dan tulis” bagi menunjukkan peri pentingnya pembacaan dalam bidang penulisan. Dalam masa yang sama Kak Rebecca turut memberi peringatan untuk menapis bahan bacaan terutamanya yang berasal dari Barat agar tidak terseleweng dari ajaran agama Islam. Sepanjang mengatur butir bicara beliau, Kak Rebecca banyak memberi contoh kepada cerpen-cerpen karyanya dan apakah yang mempengaruhi tulisan-tulisan tersebut.
Slot 2: Teknik Asas Penulisan Cerpen
Pengisian slot kedua ini lebih teknikal. Satu-satu penulisan harus bermula dengan persoalan apa cerita? Dan siapa cerita? Dan kemudian mengembangkannya kepada plot dan konflik. Untuk lebih spesifik, Kak Rebecca telah memecahkan kepada beberapa kata kunci.
Pertama, Pengisian Cerpen. Sesebuah cerpen bermula dengan cetusan idea yang merupakan satu proses kreatif. Dan cetusan idea itu bergantung kepada sumber bacaan. Oleh itu, untuk mendapat cetusan idea, kita perlu membaca. Kak Rebecca memperkenalkan sebuah buku “Bagaimana Saya Menulis” yang merupakan himpunan perkongsian bagaimana seseorang pengkarya itu mendapat ilham untuk menulis.
Kedua, Pembinaan Watak. Pembinaan watak tersangat penting dalam penulisan cerpen. Sesuatu watak haruslah diberi sikap dan mestilah bersesuaian dengan khalayak sasaran iaitu pembaca. Penulis juga harus memberi sebab dan akibat kepada watak yang akan membawa kepada pembinaan plot. Seseorang penulis juga seharusnya menyelami psikologi watak yang ditulis supaya penulisan menjadi lebih berkesan.
Ketiga, Konflik. Konflik tercipta daripada dua watak yang menuju kepada destinasi yang berlainan. Hal ini akan merangsang konflik untuk tercetus. Kak Rebecca turut menyentuh untuk tidak membanyakkan watak dan membuang watak yang tidak perlu. Watak yang tidak perlu di sini merujuk kepada watak yang tidak menyumbang kepada plot dan akan menyebabkan penulisan menjadi lewah. Penting juga untuk mencetuskan konflik pada ayat pertama kerana konflik akan menggerakkan plot.
Keempat, Pemilihan Bahasa. Pemilihan bahasa haruslah disesuaikan dengan khalayak sasaran. Terutamanya jika karya tersebut akan di siarkan di media. Pemilihan bahasa juga haruslah mengikut lingkungan iaitu sama ada jauh atau pun dekat. Dan Kak Rebecca menekankan untuk cuba menulis untuk lingkungan yang jauh untuk meluaskan sebaran ilmu melalui karya.
Dan yang terakhir adalah aspek Dialog. Dialog haruslah digunakan secara berhemah supaya penulisan tidak menjadi meleret. Dan sekali lagi Kak Rebecca mengingatkan supaya membuang dialog-dialog yang tidak perlu dan tidak menyumbang kepada pengembangan cerita.
Slot 3; Praktikal: Jom Menulis
Sejujurnya, ini slot kegemaran saya. Bukanlah untuk meremehkan slot sebelumnya tetapi slot ini ada istimewanya. Untuk slot terakhir ini, setiap peserta diberi 20 minit untuk menggarap sebahagian cerpen yang termampu. Dan setelah tamatnya masa tersebut, setiap peserta dikehendaki berkongsi bersama para peserta yang lain tentang apa yang telah ditulisnya.
Di sini terlihatlah sisi pandang lain sahabat-sahabat kita. Kerana ya, sastera itu dekat dengan jiwa manusia. Maka apabila dilontarkan buah fikiran spontan masing –masing dalam bentuk cerpen, kita seakan lebih mengenali gaya pemikiran sahabat kita. Personaliti bersahaja namun berfikiran kritis, berperwatakan keanakan tetapi jauh memikir soal perkahwinan, lagak serius namun boleh berjenaka dan bermacam-macam lagi.
Dan terlihatlah bahawasanya gaya penulisan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh apa sahaja di sekelilingnya baik buku-buku yang dibacanya, lingkaran rakan-rakannya, kegemarannya dan apa sahaja yang mampu mempengaruhi cara dia berfikir. Paling terkesan apabila Kak Rebecca sanggup mendengar dan meneliti karya spontan kami satu persatu dan melontarkan komentar jujur dan membina beliau. Saat ini akan saya ingati apabila seorang penulis yang saya segani mengucapkan tahniah sebanyak tiga kali atas karya yang pada mulanya segan untuk dikongsikan.
Begitulah berakhirnya slot terakhir bengkel yang kemudiannya disambung sesi soal jawab antara peserta dan panelis.
Dan apa yang paling amat sangat (kesalahan bahasa di sini) menarik perhatian adalah cara Kak Rebecca mencelah dalam setiap slot atau sesi soal jawab untuk menerangkan kesan pandangan alam terhadap penulisan. Menjadi salah seorang pelajar UIA yang diwajibkan mengambil kursus Pandangan Alam Islam atau Islamic Worldview, saya kira untuk mengintegrasikan elemen itu secara langsung dalam penulisan sangatlah mengesankan.
Di mana kita tidak boleh lari dari menggunakan Pandangan Alam Islam dalam setiap apa yang kita fikirkan atau perbuatkan; tetapi usaha untuk menerangkannya dalam satu bengkel penulisan dalam pada masa yang sama ingin memperkenalkannya bagi mereka yang belum tahu ataupun menyedari, adalah bagi saya satu pekerjaan yang sangat murni.
Dan ya, Kak Rebecca sering menegaskan bahawa dia juga masih sedang belajar tentang pandangan alam dan seperti kebanyakan daripada kita yang sedar dan sedang berusaha; tetapi merasakan betapa pentingnya perkara tersebut dan cuba menggalakkan kami untuk ikut serta ambil tahu, itu juga bagi saya satu perkara yang harus dipuji.
Akhir kata,saya bersyukur dan berterima kasih pada Allah kerana menzahirkan pertemuan kami pada hari ini yang sekaligus membuahkan ukhuwwah yang indah. Hari ini saya merasa seolah jiwa sastera saya diisi dan saya bakal mengingati hari ini untuk satu jangka masa yang panjang selagi belum menghidap Amnesia mahupun Alzheimer Nauzubillah. Dan,
Membacalah kerana ia akan menambahkan ilmu. Dan ilmu akan menambahkan keyakinan kita untuk menulis. Dan penulisan yang baik akan memberi kesan kepada Ummah. Dan,
MENULISLAH DENGAN PANDANGAN ALAM ISLAM. Wallahu’alam.