Monday, August 8, 2011

Kembara Masjid

"Ada tujuh golongan orang yang akan dinaungi Allah yang pada hari itu tidak ada naungan kecuali dari Allah: Seseorang yang hatinya selalu terpaut dengan masjid ketika ia keluar hingga kembali kepadanya" (HR. Bukhari dan Muslim)

Saat kaki melangkah masuk ke laman itu, hatiku serta merta berbunga. Rasa nyaman terus menyusup ke dalam kalbu lantas membuahkan senyuman di bibir. Allah, ini anugerahMu. Bila sekali ku cuba mendekatiMu, seribu kali pula Kau menghampiriku. Rasa tenang ini tidak dibuat-buat. Ia terus menerobos ke hati-hati manusia yang ketandusan.

Sepanjang belajar di ibu kota tahun lepas, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke beberapa rumah Allah ataupun masjid yang agak terkenal. Pada mulanya, kunjungan adalah atas jemputan majlis ataupun singgahan yang sementara. Tapi nyata, rumah Allah itu menggamit. Ia menggamit dalam ingatan, minta disinggah lagi.



Masjid Wilayah Persekutuan

Saya hadir ke sini bersama beberapa teman pimpinan persatuan untuk menghadiri majlis makan malam. Tapi ini bukan pertama kali kami bersua. Saat pertamanya waktu saya di Tahun 6. Menyinggah sempena lawatan. Saya sudah jatuh hati pada saat itu. Maka, apabila dijemput ke sana lagi, saya tidak berfikir panjang.

Dalam banyak-banyak masjid, mungkin ini yang terindah di ibu kota walau ini yang pertama saya jejaki. Struktur binaan, dekorasi, rona utama, termasuklah elemen air sangatlah indah dan menenangkan. Tapi sayang, kunjungan saya tidak bersifat peribadi. Maka saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Tetapi, perasaannya tetap sama. Rumah Allah itu NYAMAN. Itulah perkataan yang saya kira tepat untuk menggambarkan perasaan.




Masjid Negara

Masya-Allah, saya bersyukur dikurniakan saat itu. Kembara Ramadhan bersama dua teman baik. Kami sebenarnya kurang pasti tentang arah ke sana tetapi kerana tekad yang begitu kuat, kami gagahkan. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat. Masjid Negara dibuka kepada awam pada bulan Ramadhan. Bererti kita boleh ke sana untuk solat tarawikh dan terus tidur untuk qiam esoknya. Juadah berbuka dan sahur juga disediakan.

Saat itu begitu indah sukar digambarkan. Kami bermusafir, solat, tidur dan makan bersama. Saya terpegun melihat kesungguhan warga kota. Solat magrib, isyak dan tarawikh sudah dijangka ramai yang mengunjung. Tapi saya terkesima saat terjaga pada jam 4 pagi dan melihat masjid sudah dipenuhi jemaah. Mungkin hadirnya tidak seramai semalam, tetapi memang tidak terjangkakan.

Si ibu membawa si anak yang masih nyenyak ketiduran. Si tua pula masih gagah mengatur langkah. Semangat mereka saya kagumi. Sudahlah semalam solat tarawikhnya sudah pun lama, namun mereka tidak terus pulang. Malah membentuk kumpulan untuk bertadarus sehingga lewat malam. Awal paginya pula, datang mencari waktu paling dekat dengan Ilahi. Masya-Allah, saya tertunduk malu. Kuatnya kudrat dan semangat kalian.

Kami bersahur ala kadar dan bergerak selepas solat Subuh. Di telinga, masih terdengar-dengar kelunakan syeikh Arab mengalunkan ayat-ayat suci semalam. Di ingatan, masih tergambar kemeriahan suasana Ramadhan di sana. Di hati, kuat meminta agar segera boleh kembali lagi. Ya Allah, perasaan itu tidak boleh dijual beli. Tenang itu hanya Kau yang tahu.




Masjid As-Syakirin

Saya sudah tekad untuk menjejak ke sini barang sekali. Saya hadir bersama seorang lagi teman terbaik. Mungkin masjid ini bukanlah yang terbesar, atau terindah. Tapi cukuplah ia memberi rasa yang sama. Dan kedudukannya di tengah-tengah ibu kota dan berhampiran menara kebanggaan negara, cukup strategik.

Bermakna ia tempat yang sesuai menjadi persinggahan. Alang-alang sudah meronda kota, apa kata singgah solat di masjid ini. Lihatlah, di celah kesibukan kota, masih ada yang tidak lalai mengingat Tuhan. Selesai solat di masjid, kami telusuri taman untuk melihat kerlipan lampu di sekitar menara. Indah, itu sahaja yang dapat dikata. Dan kerana saat itu bersama teman, ia lebih indah.


Ada beberapa masjid lagi yang saya sempat singgahi, tetapi yang di atas ini mungkin yang paling diingati. Dan yang pasti, ada dua masjid yang paling saya rindui jauh di sudut hati.





Isk isk. Moga panjang jodoh kita.


Apa kata lepas ni daripada tanya, “Hujung minggu ni nak pergi mall mana?” cuba tanya “Hujung minggu ni nak pergi masjid mana?” Sejuk perut mak sampai ke sendi.

 Jom cintai masjid. Wallahu’alam.