Tuesday, August 2, 2011

Kematian


Bunyi orang berbisik-bisik mengejutkan saya dari tidur. Tidur sebentar sementara menanti waktu Zuhur bertandang. Terasa sedikit menjengkelkan kerana saya belum bersedia untuk terjaga. Jam tangan dikerling. Ah, sudah hampir masuk waktu. Patutlah manusia sudah berpusu-pusu masuk ke ruang masjid.

Saya tungkas turun untuk mengambil wudhu’. Sebentar lagi ada urusan perlu dikerjakan. Saya perlu segera bersedia untuk solat. Langkah saya teragak-agak apabila dirasakan terlalu ramai pula muslimat yang memasuki ruang solat hari ini. Kebiasaannya masjid sunyi kerana pada waktu itu cuti. Yang tinggal cumalah pelajar-pelajar asing.

Saya kerling kiri dan kanan. Masya-Allah, muslimat-muslimat ini kelihatan sedih dan sayu. Saya mengisat-isat mata untuk pandangan yang lebih jelas. Maklumlah lebih sejam saya tertidur tadi. Tapi kebanyakannya warga asing. Orang Arab untuk lebih spesifik.

Saya endahkan saja kerana tidak mampu bertanya siapa-siapa. Usai berwudhu’, saya menuju ke ruang solat kembali. Allah, lebih ramai orang berpusu-pusu naik. Saya perlahan-lahan berjalan sambil cuba mencuri dengar.

“Tak apa, Allah lebih sayangkan dia. Sabar.” Maka telahan saya benar. Ada kematian hari ini. Suara itu antara berpuluh-puluh suara yang saya dengar. Tetapi suara yang lain tidak dapat difahami kerana bahasa asing. Hanya sedikit muslimat Melayu yang hadir hari itu.

Sedang bersiap-siap, saya memerhati lagi sekeliling. Mereka saling berpelukan sambil menangis teresak-esak. Seorang mengusap-usap belakang seorang yang lain. Seorang lagi menghulurkan tisu untuk mengesat juraian air mata.

Saya terasa ingin tahu. Siapalah yang sudah kembali ke Rahmatullah hari ini. Tapi rasa itu saya tahan sehingga usai solat. Saya tunaikan solat di celah-celah ramainya mereka. Selesai solat Zuhur, terus disambung dengan solat jenazah. Saya teringin mahu sertai tetapi saya harus sempurnakan solat jama’ qasar, maka saya berundur.

Usai solat jenazah, imam membaca doa bagi si mati. Esak mereka yang bersisa-sisa ketika solat kembali bergema tidak tertahan. Doanya dalam bahasa Arab, tetapi saya dapat menangkap beberapa bait. Imam mendoakan kesejahteraan untuk jenazah, moga diampunkan dosa baginya dan kejayaan di alam kubur hinggalah akhirat.

Setiap bait doa diaminkan secara beramai-ramai bersama esak tangis yang tidak sudah. Mereka berdoa bersungguh-sungguh agar sahabat mereka selamat. Saya terkedu. Air mata mengalir tanpa sedar. Hakikat kehidupan yang sementara menerpa dan seolah-olah menampar pipi bertalu-talu. Hakikat bahawa suatu hari nanti mungkin kau adalah si mati.

Saya cuba bertanya beberapa orang tentang jenazah yang disembahyangkan. Tapi saya cuma dapat tahu bahawa dia muslimat, dan meninggal semalam. Waktu tidak mengizinkan untuk saya termenung panjang. Saya bingkas keluar dari ruang solat.

Fikiran saya masih melayang. Saya tidak mengenali kamu, tetapi saya turut menangis mengaminkan doa untukmu. Saya tidak mengenali kamu, tapi yang pasti kamu sangat dikasihi sahabat-sahabat mu. Kehilangan kamu adalah sesuatu, sesuatu.

Soalan menerjah fikiran. Adakah pemergianku nanti akan ditangisi? Adakah kehilanganku akan dirasai? Adakah ketiadaanku satu kekurangan untuk umat? Atau sekadar manusia biasa. Manusia biasa yang hadirnya tidak terasa, hilangnya tidak apa-apa.

Tapi saya boleh memilih. Bermula dari sekarang. Kematian itu pasti, tapi kita perlu berusaha untuk tidak mati sia-sia. 

 “Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang mengehendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya daripada balasan dunia itu dan sesiapa yang mengehendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya daripada balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (Surah Ali Imran, ayat 145)