Saturday, December 10, 2011

Alkisah

Alkisah seorang putera di sebuah istana. Kacak bergaya, rupawan lagi bijaksana. Tersohor ke seluruh wilayah akan kehebatannya. Dicanang-canang ke seluruh ceruk. Cerah masa depan negara katanya.

Tenang-tenang mencari suri. Mencari yang setanding, yang serasi. Lalu terdengar angin membawa khabar. Ada puteri di seberang sana. Juga mencari pasangan sehidup semati.

Terlalu tersohorlah kecerdikan si puteri, ayu dan pandai berperi. Putera jatuh hati sekali lagi. Tidak sabar bertemu si puteri. Memasang angan memasang mimpi.

Purnama bertemu purnama, menginjak tahun. Puteri belum ditemui. Diutus surat bertanya khabar. Kepingin sekali mahu mengenali hati budi.

Si puteri mula membalas kata. Si putera teruja. Dilimpah segala puji puja. Bila agaknya bisa bersua. Si puteri kaget. Bimbang rupanya tak seindah puja.

Lalu dibawa perkhabaran. Dirinya dionar celaka. Hidung tercanggung ke sisi. Mulutnya rabik di kiri. Tempang tak bisa berdiri. Tidak mampu lagi berperi. Ingatan tinggal sehari.

Putera gelisah. Masakan mahu dinikahi si capik lalu dijadikan permaisuri. Dia gagah perkasa, hartawan  lagi gemar berbudi. Pasti ramai yang lebih menepati ciri. Takkanlah si dungu ini.

Gelisah si putera tak tertanggung. Hantaran meminang dipanggung dan disanggah ke tepi. Tak boleh jadi. Dirinya tak tenang begini.

Lalu angin membawa perkhabaran lagi. Kali ini untuk si puteri. Putera mengunci kata, menjilat ludah yang tersisa. Kata-kata dimamah sendiri, kembali.

Lalu si puteri tidaklah bersedih hati. Mahupun berkurung membilang hari. Si puteri girang bercanda sok bahagia.

Satu lagi munafik tewas, katanya.