Tuesday, March 13, 2012

Saya tak minta

Terkadang manusia akan hanya fikirkan diri sendiri. Apa yang baik untuknya, itulah yang terbaik untuk semua orang. Walhal terkadang ada yang boleh tersakiti oleh apa yang diperbuatkan.

Saya serik. Pernah difitnah dan dijaja cerita merata-rata. Hanya disebabkan ego seorang manusia. Ya, saya banyak mencabar ego orang. Kerana saya seorang yang tidak akan tunduk kepada apa yang tidak betul. Saya punya prinsip dan saya pohon agar prinsip saya tidak akan berubah sampai ke mati.

Tetapi sesetengah orang tak dapat terima. Konservatif katanya. Yang kau katakan konservatif itu agamamu! Agama yang kekal relevan sehingga hari manusia hancur dimamah bumi. Jangan cuba mempermudahkan apa yang sudah tersurat sebagai hukum. Itu syariat namanya.

Saya tidak ingin membenci orang. Kerana saya juga manusia biasa yang membuat kesilapan. Tetapi saya sedikit pun tidak kisah andai dikatakan lancang jika yang saya pertahankan itu benar. Kerana kebenaran itu tetap benar dalam apa jua situasi dan sifatnya utuh. Saya cuma menegaskan sahaja.

Saya tak minta. Menjadi bahan cerita jajaan orang. Jika boleh disarungkan jubah halimunan, saya sanggup. Demi maruah dan agama saya.

Saya juga berharap teman seangkatan saya semuanya kuat menolak apa yang fana. Apa yang salah tetap salah tanpa kompromi. Jika kita membuka ruang, kita juga yang akan terjerumus akhirnya. Jangan takut untuk berkata tidak.

Saya doakan kekuatan untuk semua kaum Hawa yang berusaha menjaga diri dan hati. InsyaAllah Allah bersama kita, maka siapa lagi yang kita mahukan?